AKHLAK RASULULLAH S.A.W
Bulan Rabiul Awal merupakan salah satu dari bulan yang bersejarah kepada seluruh umat Islam kerana pada bulan inilah, junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW diputerakan. Kita sepatutnya menyingkap kembali sejarah perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan Islam yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan rintangan seperti ancaman bunuh, hinaan, fitnah dan sebagainya. Namun begitu, Rasulullah Saw tetap tabah dan sabar menghadapi segala ujian dan rintangan tersebut.
Oleh yang demikian, sempena dengan Hari Keputeraannya, marilah kita sambut dengan penuh keikhlasan agar kita akan kembali sedar dan insaf dengan perjuangan Rasulullah SAW seterusnya berusaha akan menjaga kesucian dan keagungan Islam sehinggalah ke hari kiamat.
Selain itu juga, kita haruslah mensyukuri rahmat Allah yang telah menurunkan seorang pemimpin agung yang telah berjaya mengubah suasana dan keadaan kehidupan manusia jahiliah pada ketika itu sehingga menjadi lebih baik. Namun begitu, sambutan maulidurrasul hendaklah dipenuhi dengan program ibadat dan aktiviti untuk memuliakan baginda Rasulullah Saw seperti bersalawat kepadanya disamping mengelakkan daripada perbuatan yang keji dan haram seperti pergaulan lelaki dan perempuan tanpa ada batas.
Firman Allah Swt yang bermaksud:
"Tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam".(Surah al-Anbia' ayat 107)
Sesungguhnya Nabi Muhammad Saw merupakan Rasulullah yang ulung dan mempunyai darjat kelebihan daripada Nabi-nabi dan Rasul yang lain. Baginda telah diberikan kelebihan oleh Allah swt dan dikurniakan dengan berbagai-bagai mukjizat terutamanya Al-Quranul karim yang menjadi pertunjuk bagi umat Islam seluruhnya dan sesuai untuk segala zaman. Sebagai seorang Islam, kita seharusnya mencintai Rasulullah Saw dengan begitu mendalam sekali kerana baginda mempunyai sifat peribadi yang tidak ada tolok bandingnya. Perasaan cinta tersebut tidak cukup hanya kita lahirkan dengan perkataan semata-mata dan dengan perayaan yang begitu hebat tetapi sebaliknya hendaklah kita berusaha meniru jejak langkahnya terutama sifat peribadinya yang mulia. Ini disebabkan oleh, dengan sifat peribadinya yang mulialah, baginda amat disanjung serta dikagumi oleh umatnya serta penciptanya iaitu Allah swt. Beliau telah diberi gelaran sebagai al-Amin ataupun yang bermaksud yang benar. Kita seharusnya mencontohinya sebagaimana:
Firman Allah swt yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada diri Rasulullah Saw itu contoh teladan yang baik iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat dan keridaan di hari kiamat dan sebutlah nama Allah banyak-banyak." (Surah Al-Ahzab ayat 21).
Di samping itu, Allah Swt juga telah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) sebaik-baik makhluk dan mempunyai akhlak yang paling tinggi". (Surah Al-Qalam ayat 4)
Di antara akhlak Rasulullah SAW ialah baginda sentiasa bercakap benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dalam percakapannya disamping melakukan seperti mana yang diperkatakannya. Baginda juga bersifat amanah sejak dari kecil lagi. Ini terbukti apabila baginda diberikan kepercayaan menjalankan perniagaan Saiyidatina Khadijah. Baginda Rasulullah Saw juga bersifat adil walaupun terhadap keluarganya sendiri. Ini ditegaskan melalui sabdanya yang bermaksud:
" Demi Allah seandainya anakku Fatimah mencuri nescaya aku potong tangannya"
Rasulullah Saw juga mempunyai sifat keyakinan diri yang kental. Ini dibuktikan melalui kejayaannya menyebarkan dakwah Islam walaupun mendapat rintangan yang begitu kuat daripada orang-orang Arab pada waktu itu. Satu lagi diantara sifatnya yang amat menarik ialah, baginda merupakan seorang yang rajin berusaha dan tekun. Semasa zaman kanak-kanak, beliau telah mengembala kambing, berniaga ketika usia remaja dan seterusnya menyebarkan agama Islam ketika dewasa. Semasa melaksanakan tugasnya menyampaikan wahyu Allah kepada bangsa Arab, Rasulullah Saw tidak pernah menggunakan cara yang kasar dan menyakitkan hati sebaliknya baginda sentiasa berlemah lembut dan bersopan santun disamping tidak membeza-bezakan kedudukan para sahabatnya sama ada yang kaya ataupun miskin.
Di antara kisah kesabaran Rasulullah Saw didalam hidupnya ialah kisah bagaimana seorang perempuan tua yang suka mengganggu beliau dengan membaling sampah apabila Rasulullah Saw lalu di sebelah rumahnya. Tidak cukup dari itu, perempuan tua itu akan membaling sampah dan serpihan kaca di tempat yang akan dilalui oleh Rasulullah Saw. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah Saw lalu di sebelah rumahnya. Dalam hal ini, sedikit pun tidak diperdulikan oleh baginda Rasulullah Saw. Namun begitu, pada suatu hari semasa Rasulullah Saw lalu di sebelah rumah perempuan tua itu, beliau tidak melakukan perkara biasa sehingga menimbulkan rasa pelik kepada Rasulullah Saw. Lalu baginda bertanya kepada jiran perempuan itu dan diberitahu yang beliau jatuh sakit. Baginda Rasulullah Saw pun naik ke rumah perempuan tua itu untuk menziarahinya serta tolong memasakkan air untuknya. Budi pekerti Rasulullah Saw yang tinggi itu telah menyedarkan perempuan itu yang akhirnya memeluk Islam.
Satu lagi kisah ialah tentang kesabaran Rasulullah Saw iaitu, baginda Rasulullah Saw sering pergi ke pasar untuk menyuapkan makanan kepada seorang buta. Semasa disuapkan,, orang buta itu sering mengumpat Rasulullah Saw dan beliau tidak tahu yang beliau sedang berhadapan dengan Rasulullah Saw. Setelah baginda wafat, Saidina Abu Bakar telah bertanya kepada anaknya Siti Aisyah (isteri Rasulullah Saw) apakah lagi amalan harian Rasulullah Saw yang belum ditunaikan lagi. Lalu Siti Aisyah menjawab yang baginda Rasulullah Saw sering mengunjungi orang buta tersebut untuk menyuapkan makanan. Oleh yang demikian, Saidina Abu Bakar telah pergi mengunjungi orang tua itu dan cuba menyuapkan makanan. Tetapi semasa suapan yang pertama, orang buta itu terus marah dan bertanya "kenapa kamu suapkan makanan kepada aku"? Saidina Abu Bakar menjawab, "Aku adalah orang yang biasa", jawab orang buta tersebut,"kamu bukannya orang yang biasa kerana beliau seorang yang berlainan dan beliau menyuapkan aku dengan lembut". Lalu Saidina Abu Bakar menangis seraya menjelaskan kepada orang buta tersebut, orang yang biasa datang menyuapkan makan tersebut telah pun wafat dan beliau ialah Rasulullah Saw. Mendengarkan jawapan dari Saidina Abu Bakar, orang buta itu terkejut lalu memeluk agama Islam kerana terpesona dengan keluhuran budi pekerti Rasulullah Saw.
Akhirnya marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah swt, iaitu dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Hiasilah perbuatan seharian kita dengan menjadikan Islam sebagai the way of life. Maksudnya, perbuatan seharian kita mencerminkan sebenar-benar seorang Muslim yang bertaqwa kepada Allah Swt bermula daripada bangun mengerjakan solat Subuh sehinggalah selesai mengerjakan Solat Isyak dan tidur. Segala perbuatan dan gerak geri kita juga hendaklah ikhlas dan semata-mata mengharapkan keredaan Allah Swt.
Dengan lain perkataan, kita haruslah sentiasa menjaga hubungan diantara manusia dengan penciptanya (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas).
Dalam menjaga hubungan sesama manusia (hablumminannas), manusia seharusnya menyemai kedalam dirinya sifat-sifat yang baik seperti amanah, jujur, toleransi, berkasih sayang, hormat menghormati, bersangka baik, tolong menolong dan menjauhi dari sifat yang buruk seperti menfitnah orang lain, mengumpat, dengki mendengki, kedekut, menipu, menganiyai sesama manusia dan lain-lain lagi. Manakala hubungan diantara manusia dengan penciptanya (hablumminallah), kita hendaklah sentiasa melakukan segala suruhanNya dengan penuh ketaatan, ikhlas dan mengharapkan keredaanNya semata-mata serta meninggalkan segala laranganNya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
▼
2008
(20)
-
▼
January
(20)
- ALLAH MENOLAK KORBAN TANPA TAQWA
- AKHLAK RASULLULLAH SAW
- AKHLAK IBARAT BUNGA D TAMAN
- MUSTIKA HADITH
- 99 NAMA
- 99 LANGKAH MENUJU KESEMPURNAAN IMAN
- 13 TIPS UNTUK MEMPERBAIKKI SOLAT
- 10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA
- 5 WASIAT NABI JUNJUNGAN KPD SAIDINA ALI R.AWahai A...
- 5 SYARAT UNTUK BUAT MAKSIAT
- 4 PERKARA SEBELUM TIDUR
- 7 FAKTOR KEHANCURAN KELUARGA
- TERTAWA DIDUNIA MENANGIS DI AKHIRAT
- MIMPI RASULULLAH SAW TENTANG 'ALAM BARZAKH'
- SUDAHKAH KITA BERSIAP SEDIA MENGHADAPI SAKARATULMAUT?
- SAIYIDATINA FATIMAH RHA: PENGHULU WANITA SYURGA
- JALAN KE SYURGA PENUH DURI
- KEMBALILAH KEPADA ALLAH
- GOLONGAN LELAKI YANG AKAN DITARIK MASUK KEDALAM NE...
- BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH
-
▼
January
(20)
No comments:
Post a Comment